Kitaran Nitrogen adalah asas bagi memahami apa yang berlaku kepada najis ikan di dalam sebuah akuarium. Ia juga menerangkan kenapa berlakunya Sindrom Tangki Baru (New Tank Syndrome) kepada ikan yang dibela di dalam akuarium baru yang belum matang.
Kitaran Nitrogen ini berlaku sepenuhnya di dalam sungai, tasik dan laut, tetapi di dalam akuarium kitaran ini tidak berlaku sepenuhnya disebabkan limitasi yang terdapat di dalam ekosistem akuarium.
Alam semulajadi
- Amonia > Nitrit > Nitrat > Nitrogen (Gas)
Akuarium
- Amonia > Nitrit > Nitrat
Di dalam alam semulajadi, najis ikan akan membebaskan amonia yang terlarut dalam air. Amonia terlarut ini akan diproses oleh bakteria Nitrosomonas kepada nitrit, yang kemudiannya diproses oleh bakteria Nitrobacter kepada nitrat. Nitrat pula akan diproses oleh bakteria Anaerobes kepada gas nitrogen yang dilepaskan ke atmosfera.
Kedua-dua bakteria Nitrosomonas dan Nitrobacter hidup di dalam air dan pada permukaan batu, pasir, kayu dan tumbuhan air; manakala bakteria Anaerobes hanya wujud lebih kurang satu kaki di bawah tanah di dasar sungai, tasik atau laut.
Oleh sebab itu bakteria Anaerobes tidak wujud di dalam akuarium kerana lapisan pasir yang nipis di dalamnya. Maka Kitaran Nitrogen di dalam akuarium terhenti pada peringkat nitrat yang terlarut di dalam air. Kebanyakan bakteria Nitrosomonas dan Nitrobacter di dalam akuarium akan terkumpul di dalam filter; selain yang wujud di dalam air akuarium dan pada permukaan dinding, pasir dan lain-lain hiasan di dalam akuarium.
Amonia dan nitrit adalah tersangat toksik bagi ikan. Bagi akuarium yang matang, bacaan amonia dan nitrit di dalam air mestilah 0 bahagian/sejuta, kerana bacaan 1 bahagian/sejuta akan membuatkan ikan sakit, dan ikan akan mati pada bacaan 5 bahagian/sejuta.
Nitrat pula kurang kadar toksiknya, iaitu bacaan 60 bahagian/sejuta akan membuatkan ikan sakit, dan ikan akan mula mati apabila bacaan melebihi 100 bahagian/sejuta di dalam akuarium. Maka nitrat terlarut ini boleh dikurangkan kepekatannya di dalam akuarium dengan mengamalkan penukaran sebahagian air akuarium. Kadar penukaran air akuarium ini bergantung kepada jenis ikan dan jumlah ikan yang dipelihara; iaitu antara 25%-33% air akuarium, setiap 1-2 minggu. Ikan yang lebih sensitif kepada nitrat, contohnya ikan siklid afrika atau ikan laut, memerlukan penukaran air akuarium yang lebih kerap. Akuarium yang mengandungi banyak ikan juga memerlukan penukaran air akuarium yang kerap.
Sindrom Tangki Baru berlaku disebabkan terkumpulnya amonia di dalam akuarium baru yang tidak mengandungi bakteria Nitrosomonas dan Nitrobacter, yang banyak terdapat di dalam akuarium yang telah matang. Amonia mengambil masa beberapa hari untuk dihasilkan oleh ikan, maka ikan dalam akuarium baru hanya akan mula mati selepas beberapa hari. (Kematian ikan selepas beberapa jam dimasukkan ke dalam akuarium biasanya disebabkan penyakit atau kecederaan yang dialami di kedai akuarium lagi, ataupun terdapatnya klorin di dalam air akuarium.)
Akuarium yang mengandungi kedua-dua bakteria Nitrosomonas dan Nitrobacter pada kuantiti yang mencukupi untuk memproses bahan buangan ikan ini disebut sebagai akuarium yang matang (cycled/matured aquarium). Proses pematangan akuarium (aquarium cycling) ini memerlukan masa 4 hingga 6 minggu; walau bagaimanapun terdapat kaedah tertentu untuk mempercepatkan proses ini - akan diterangkan di dalam posting akan datang.
No comments:
Post a Comment