Wednesday, February 6, 2008

Proses Pematangan Akuarium

Seperti yang telah disebut di dalam posting terdahulu, kita tidak boleh terus memasukkan ikan ke dalam akuarium yang baru disediakan. Jika ini dilakukan, akan terjadilah Sindrom Tangki Baru, di mana ikan-ikan akan mati satu demi satu dalam tempoh beberapa hari.

Untuk mengelakkan ini berlaku, maka kita hendaklah membiarkan akuarium tersebut melalui proses pematangan, untuk membiakkan bakteria bermunafaat (Nitrosomonas dan Nitrobacter) di dalam akuarium tersebut, yang akan memproses sebarang bahan buangan yang akan wujud apabila kita mula memasukkan ikan.

Akuarium yang matang boleh menampung ikan yang banyak.

Proses pematangan ini bermula setelah sesebuah akuarium siap dibina, iaitu setelah segala perhiasan seperti pasir, batu, pokok dan lain-lain siap disusun, air dan anti-klorin sudah dimasukkan, dan filter telah dihidupkan. Dengan kata lain, hanya tinggal ikan sahaja yang belum dimasukkan ke dalam akuarium tersebut untuk melengkapkannya.

Spora bakteria Nitrosomonas dan Nitrobacter yang sedia wujud di dalam udara dan air paip akan mula menetas dan membiak. Jika kita lihat semula carta Kitaran Nitrogen, bakteria-bakteria ini memerlukan amonia untuk membiak. Maka kita perlu memasukkan sumber amonia ke dalam akuarium.

Antara sumber amonia yang boleh kita gunakan ialah:

  • Beberapa ekor ikan hidup yang lasak seperti Molly, Guppy dan feeder fish. Ikan-ikan ini akan membebaskan amonia sebagai bahan buangan dan najis ke dalam akuarium.
  • Larutan amonia tulen yang boleh dibeli di kedai hardware. Jumlah larutan yang digunakan akan bergantung kepada saiz akuarium. Sila lihat laman web dan artikel mengenai Fishless Cycle.
  • Beberapa bahan organik yang akan membebaskan amonia apabila ianya reput di dalam akuarium seperti beberapa ekor udang segar dari pasar, dan juga makanan ikan berbentuk pellet dan serbuk.

Setelah amonia dibebaskan ke dalam akuarium, jumlah amonia terlarut di dalam air akan mula meningkat. Pada peringkat ini, bakteria Nitrosomonas akan mula membiak, lalu menyebabkan kandungan amonia menurun dan nitrit pula mula meningkat di dalam akuarium. Kandungan nitrit yang tinggi ini menyebabkan bakteria Nitrobacter pula membiak, lalu menurunkan kandungan nitrit dan menaikkan pula kandungan nitrat di dalam akuarium.

Ini semua boleh dikenalpasti dengan menguji air menggunakan alat ujian amonia, nitrit dan nitrat yang boleh di dapati di kedai akuarium. Akuarium yang matang akan mempunyai bacaan amonia 0 ppm, nitrit 0 ppm dan nitrat kurang daripada 25 ppm.

Kandungan nitrat hendaklah dikawal supaya tidak terlalu tinggi dengan mengamalkan penukaran sebahagian air akuarium secara berjadual, contohnya penukaran 25-33% air akuarium setiap minggu.

Keseluruhan proses pematangan akuarium ini memakan masa 6-8 minggu. Akan tetapi ianya boleh dipercepatkan sedikit dengan kaedah-kaedah bacterial seeding seperti berikut:

  • Menggunakan media filter seperti kapas, span dan lain-lain dari akuarium lain yang telah matang.
  • Memasukkan pasir, batu dan lain-lain perhiasan yang diambil daripada akuarium lain yang telah matang.
  • Menggunakan semula air buangan daripada akuarium lain yang telah matang, semasa melakukan penukaran air berjadual pada akuarium tersebut.

Ini adalah kerana semua bahan-bahan ini mengandungi bakteria berfaedah, yang akan mempercepatkan kadar pembiakan bakteria, meninggikan jumlah bakteria dan membolehkan akuarium kita matang lebih awal.

Akan tetapi, walaupun akuarium kita telah matang, kita masih perlu memasukkan ikan ke dalam akuarium tersebut secara beransur-ansur, iaitu 1-2 ekor untuk setiap 1-2 minggu bergantung kepada saiz ikan, untuk membenarkan proses penambahan jumlah bakteria bagi setiap ekor ikan yang kita masukkan ke dalam akuarium. Ini adalah supaya akuarium kita mempunyai kapasiti untuk memproses bahan buangan dan najis yang dikeluarkan oleh ikan-ikan kita.

Sebuah akuarium yang matang dengan kauntiti ikan yang maksimum, akan mengambil masa lebih kurang 6 bulan untuk disiapkan.

Adalah diharapkan dengan pengetahuan asas yang cuba disampaikan di dalam artikel ini, dapat membantu kita membina sebuah akuarium yang sihat dan stabil di dalam rumah kita.