Apabila seseorang ingin mula memelihara ikan di dalam akuarium, terdapat beberapa persediaan asas yang perlu dilakukan. Tujuan persediaan ini adalah untuk memastikan hobi ini akan memberi kepuasan dan mencapai maksud yang diinginkan. Ianya juga untuk memastikan hobi ini tidak terhenti tiba-tiba, apabila ikan-ikan yang dibeli mati hanya beberapa hari selepas dimasukkan ke dalam akuarium.
Kesilapan utama yang selalu dilakukan oleh seseorang yang ingin memelihara ikan adalah pergi ke kedai ikan dan terus membeli akuarium dan ikan, tanpa ada apa-apa pengetahuan yang perlu untuk menjayakan hobi ini.
Selalunya kita teruja apabila melihat akuarium orang lain yang cantik, dipenuhi dengan ikan-ikan yang berwarna-warni dan berbagai bentuk, dengan hiasan dan aksesori yang menarik. Kita pun pergi ke kedai ikan dan membeli semua peralatan dan ikan, dengan harapan untuk memiliki akuarium yang cantik sebagaimana yang telah kita lihat. Tetapi malangnya, selepas beberapa hari, ikan-ikan kita mula mati seekor demi seekor, hingga tiada yang tinggal lagi. Kita akan kecewa, duit kita habis begitu sahaja, dan hobi memelihara ikan kita berakhir di situ. Ini adalah senario yang biasa berlaku.
Untuk mengelakkan keadaan ini berlaku pada diri kita, perkara pertama yang perlu kita sedar ialah akuarium yang cantik, yang selalu kita lihat itu, tidak dibina dalam masa sehari ataupun seminggu. Ianya memerlukan masa sekurang-kurangnya 3 hingga 6 bulan, untuk sampai ke tahap itu. Ianya juga memerlukan kesabaran dan ketekunan yang tinggi untuk membinanya, melalui langkah-langkah yang mengambil masa yang panjang. Untuk itu kita perlu memiliki pengetahuan yang cukup tentang cara yang betul, untuk memelihara ikan di dalam akuarium.
Akuarium
Sebuah akuarium bukanlah hanya sebuah tangki yang diisi air dan ikan hidup. Ianya adalah sebuah ekosistem yang seimbang. Dengan kata lain, ianya adalah percubaan kita untuk meniru suatu alam yang wujud di dalam sungai, tasik atau laut, dan membawanya ke dalam rumah kita.
Ikan yang kita pelihara pula adalah makhluk hidup yang mempunyai keperluan tertentu seperti makanan yang sesuai, suasana hidup yang selesa dan kawan/pasangan; serta ianya berinteraksi dan mempengaruhi alam sekitarnya. Setiap jenis ikan mempunyai sifat, tabiat, pemakanan dan keperluan yang mungkin unik, yang boleh menentukan kesesuaian dan jangka hayatnya di dalam akuarium kita.
Ikan menghasilkan najis dan lain-lain bahan buangan, yang mana bahan toksik ini perlu diproses supaya tidak membunuh ikan itu sendiri. Maka akuarium kita perlu mempunyai sistem yang memproses najis dan bahan buangan ini. Proses ini dinamakan Kitaran Nitrogen; dan ianya berkait rapat dengan filter yang kita gunakan dan juga keperluan menukar sebahagian air akuarium secara berkala. Ianya akan saya terangkan pada masa yang lain (lihat posting tentang Kitaran Nitrogen Bagi Akuarium).
Kita juga perlu pastikan, air yang kita masukkan ke dalam akuarium adalah sesuai dan tidak membahayakan ikan kita. Kebanyakan kita akan menggunakan air paip yang mengandungi klorin yang tersangat toksik bagi ikan, dan perlu dirawat dengan larutan anti-klorin sebelum boleh digunakan. Ikan-ikan tertentu juga mempunyai keperluan jenis air yang sesuai dari segi pHnya (alkali, neutral, asid), kandungan bahan terlarut (garam galian, bahan organik) dan suhu.
Aksesori yang kita gunakan di dalam akuarium juga boleh memberi kesan kepada ikan dan air akuarium, seperti lampu, pasir, batu, kayu, pokok hidup/plastik dan lain-lain.
Akhir sekali, kita mesti sedar bahawa hobi memelihara ikan ini adalah suatu komitmen jangka panjang, yang memerlukan pengorbanan masa, wang ringgit, tenaga, dan juga keluarga/teman hidup yang memahami (jangan sampai berkelahi disebabkan ikan .....).
Kefahaman asas ini perlu ada pada diri kita sebelum kita memasuki hobi ini.
Apa Perlu Kita Buat
Perkara pertama yang perlu kita lakukan ialah menentukan apakah jenis akuarium dan ikan yang mahu kita miliki, dan di mana akan kita letakkan akuarium tersebut. Adakah ianya sebuah akuarium besar dengan ikan yang banyak, untuk diletakkan di ruang tamu rumah kita; ataupun hanya sebuah balang ikan dengan beberapa ekor ikan kecil, untuk diletakkan di atas meja di pejabat kita.
Kita kemudiannya boleh pergi ke kedai ikan; bukan untuk membeli apa-apa, tetapi untuk melihat jenis-jenis ikan, jenis dan saiz akuarium, dan juga aksesori-aksesori yang dijual di kedai ikan berdekatan. Kita mungkin perlu melawat beberapa kedai ikan, terutama kedai yang besar, yang mempunyai banyak pilihan. Ini adalah untuk mengetahui apakah pilihan ikan dan akuarium yang ada, dan juga harga bagi perkara-perkara tersebut untuk menentukan bajet yang sesuai dengan kemampuan kita.
Selepas itu, kita perlu mencari maklumat tentang cara untuk membina akuarium yang kita idamkan, dan juga jenis-jenis ikan yang sesuai dengan jenis akuarium tersebut.
Cara termudah dan menjimatkan ialah dengan melayari internet. Terdapat banyak maklumat yang boleh kita dapat secara percuma. Kita cuma perlu pergi ke laman ‘search engine’ dan taip kata kunci yang sesuai seperti aquarium, fishkeeping, tropical fish, dan lain-lain.
Antara maklumat yang perlu kita tahu adalah, langkah-langkah yang perlu kita ambil dalam membina sebuah akuarium; konsep-konsep seperti kitaran nitrogen (nitrogen cycle), akuarium yang matang (aquarium cycling, cycled mature aquarium); jenis-jenis ‘set-up’ akuarium seperti akuarium tropikal komuniti (community tropical aquarium), akuarium ‘african rift valley cichlid’, akuarium ‘amazonian’, akuarium air payau (brackish water aquarium), akuarium air masin (marine aquarium); dan juga masalah-masalah yang mungkin akan timbul semasa proses penyediaan akuarium.
Kita juga perlu mempelajari tentang sistem penapisan (filter), lampu yang sesuai untuk ikan, jenis-jenis pasir, batu dan lain-lain aksesori, dan bagaimana ianya mempengaruhi keseimbangan sesebuah akuarium dan keselesaan ikan-ikan di dalamnya.
Bagi jenis ikan pula, kita perlu taip nama ikan tersebut pada laman ‘search engine’ seperti angelfish, tiger barb, guppy, swordtail, arowana, clown loach; atau jenis ikan tersebut seperti goldfish, tetra, cichlid, brackish water fish dan lain-lain.
Kita perlu tahu saiz matang ikan tersebut, contohnya neon tetra - 1 inci, arowana - 2 kaki, red-tail catfish - 4 kaki; yang mana ini akan menentukan saiz akuarium yang perlu kita beli nanti. Kita juga perlu tahu jenis air yang diperlukan oleh ikan tersebut, kerana ikan air beralkali seperti african rift valley cichlid dan ikan air payau, tidak boleh dicampurkan dengan ikan air berasid seperti south american cichlid, tetra dan arowana. Antara lain-lain perkara yang perlu kita tahu ialah jenis pemakanan (ikan ‘vegetarian’ tidak boleh dicampurkan dengan ikan ‘carnivor’), aksesori yang sesuai (ikan plecos/bandaraya perlu kepada kayu kerana dietnya termasuk lignin yang terdapat pada kayu reput), dan juga sifat-sifat unik pada ikan tertentu (ada ikan suka berkawan/sosial – neon tetra, clown loach; ada ikan tersangat agresif – oscar, arowana, mbuna; dan ada ikan suka tidur terbalik – upside-down catfish, clown loach).
Selain internet, kita juga boleh mendapat maklumat dengan membeli buku-buku tentang ikan akuarium. Cuma cara ini lebih rumit kerana hanya kedai buku yang besar sahaja mempunyai buku-buku ini; dan ianya juga memerlukan perbelanjaan yang besar kerana buku-buku mengenai ikan akuarium kebanyakannya adalah mahal (antara RM50 sehingga melebihi RM400 sebuah).
Setelah itu, bolehlah kita membuat perancangan yang teliti tentang akuarium yang ingin kita bina dan miliki, di samping jenis-jenis ikan yang ingin kita pelihara.
Kemudian, barulah kita pergi ke kedai akuarium untuk membeli akuarium, filter, pasir yang sesuai, dan lain-lain aksesori yang kita mahu. (Peringatan - jangan beli ikan lagi.) Setelah dibawa balik ke rumah/pejabat, bolehlah kita ‘set-up’ semua peralatan tersebut.
Akhir sekali, setelah menjalani proses pematangan (cycling) selama beberapa minggu, bolehlah kita mula membeli ikan secara beransur-ansur – iaitu 1-2 ekor setiap minggu (bergantung kepada saiz ikan).
Kesimpulan
- Hobi memelihara ikan adalah hobi yang memerlukan ketekunan dan kesabaran yang tinggi, kerana proses membina sebuah akuarium memerlukan langkah-langkah yang mengambil masa yang panjang.
- Hobi ini memerlukan pengetahuan yang cukup sebelum kita mula berjinak dengannya, supaya tidak membazir wang kita, dan ianya terhenti sekerat jalan sahaja.
- Hobi ini adalah suatu komitmen jangka panjang, untuk menjaga dan memelihara ikan di dalam akuarium kita supaya sentiasa sihat dan ceria.